Sorok mana hari ni?



Assalammualaikum,

Bertemu lagi kita dalam tazkirah hari Jumaat, dan untuk minggu ini saya akan mengupas sedikit tentang ponteng solat jumaat. Perkara ini mungkin nampak agak jarang berlaku, dan mungkin antara kes terpencil, tetapi ia tetap menjadi satu permasalahan dalam masyarakat Islam. Seorang lelaki muslim yang sudah mencukupi sifat sebagai lelaki dewasa adalah wajib untuk menunaikan solat Jumaat. Adalah menjadi satu dosa besar jika ditinggalkan secara sengaja sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Zahabi. Terdapat juga beberapa hadith yang menyebut mengenai ancaman bagi orang yang meninggalkan solat Jumaat:

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali tanpa darurat, Allah SWT akan mengunci hatinya.” (Riwayat Ibn Majah, no 1126)

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat dengan sengaja, Allah SWT akan mengunci hatinya.” (Riwayat Abu Daud, no 1052)

Namun persoalan tentang meninggalkan solat Jumaat tidak lebih tiga kali juga pernah dijadikan sebagai alasan untuk tidak pergi mengerjakan solat Jumaat. Ada di kalangan kita yang memahami hadith tersebut bahawa para lelaki boleh meninggalkan solat Jumaat asalkan tidak lebih tiga kali. Ternyata pemahaman ini adalah salah sama sekali. 

Hadith itu sendiri menyatakan ‘tanpa darurat’ dan ‘dengan sengaja’. Perlu difahami antara syarat wajib bagi solat Jumaat adalah tidak ada keuzuran.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa yang mendengar azan lalu dia tidak memiliki keuzuran yang menghalangnya mengikuti solat jumaat, maka solatnya tidak diterima. Sahabat bertanya: “Apakah itu keuzuran?” Baginda menjawab: “Perasaan takut dan sakit.”

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menjelaskan: “Setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit dinaskan ke atasnya. “Justeru, tidak wajib solat Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.”

Dalam situasi seorang penjaga kedai, ia tidak termasuk dalam situasi darurat (takut kehilangan harta) atau keuzuran kerana jelas ada pilihan samada mengambil pekerja perempuan yang boleh menggantikannya atau menutup kedai ketika menunaikan solat Jumaat.

Allah SWT memerintahkan supaya umat Islam meninggalkan urusan jual beli apabila mendengar azan bagi menunaikan solat Jumaat.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu’ah: 9)

Kesibukan kerja tidak boleh menjadi alasan kukuh untuk meninggalkan solat Jumaat. Namun ia berbeza dengan situasi bagi mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan atau tentera.

Kesimpulannya, hukum menunaikan solat Jumaat tetap wajib dan meninggalkannya dengan sengaja tanpa alasan yang munasabah adalah tidak dibenarkan syarak.

- Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Until Next Post, Maasalama.

1 Ulasan

  1. perkongsian yang bagus.. ramai yang ambil sambil lewa tentang "tidak lebih 3 kali" tu.. walhal kena ada sebab musabab yang kukuh.. bukan saja saja nak ponteng..

    BalasPadam
Catat Ulasan
Terbaru Lebih lama