Masih hangat lagi diperkatakan dengan betapa bagusnya jalan cerita filem Sheriff: Narko Integriti arahan Syafiq Yusof ini.
Selepas menonton filem bertemakan kepolisan yang berdurasi selama 2 jam 15 minit ini, saya rasa filem ni sarat dengan teguran bukan sahaja kepada pemimpin, tetapi kepada mana-mana individu yang mahu menjadi 'hero'.
Ibarat buat benda jahat dah tentu salah, tapi buat benda yang dirasakan betul pun belum tentu lagi benda tu betul.
Filem ini secara asasnya mengisahkan tentang seorang pegawai polis yang membuat tindakan sendiri di luar batas undang-undang untuk menghapuskan dalang-dalang narkotik dalam negara.
Dalam masa yang sama, watak Sheriff pula merupakan seorang anggota polis yang ditugaskan untuk menangkap pegawai polis lain yang terlibat dengan rasuah, dan dalam cerita ini Sheriff ditugaskan untuk menangkap The Meth Killer yang juga merupakan seorang pegawai polis bernama Naz.
Bagaimanapun, filem ini penuh dengan plot twist yang membuatkan penonton rasa seperti menaiki roller coaster!
Filem Berkonsepkan "Howcatchem"
Dari segi teknikal, filem Sheriff: Narko Integriti ini berkonsepkan "Reverse Whodunnit" atau lebih dikenali sebagai "Howcatchem" di mana penonton sudah tahu siapa di pelaku, tetapi tidak tahu bagaimana si pelaku akan tertangkap.
Itu yang membuatkan filem ni seronok ditonton, membuatkan penonton tertanya-tanya bagaimana The Meth Killer ini akan ditangkap oleh Sheriff.
Pada pembukaan filem kita sudah diperkenalkan dengan siapa wajah disebalik The Meth Killer, iaitu Naz, dan bagaimana dia membunuh seorang pegawai polis atasan (Tuan Malik) kerana mendapat maklumat bahawa Tuan Malik merupakan tikus kepada tokan dadah (Tony Ifrit).
Naz tanpa rasa bersalah membunuh Tuan Malik kerana merasakan ketuanya itu tidak layak menjadi anggota polis kerana makan rasuah melindungi Tony.
Watak Sheriff pula dengan kemas diperkenalkan dengan menangkap seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang terlibat dengan rasuah melindungi premis perjudian, dan kemudian dia ditugaskan mengetuai operasi menangkap The Meth Killer.
Tapi pertengahan filem ini diperkenalkan pula dengan watak Tikus 1 dan Tikus 2 yang menjadikan misi menangkap Naz semakin sukar (atau semakin rumit).
Filem ini membuatkan saya susah nak agak apa yang akan berlaku selepas itu, siapa dalang sebenar, dan apa kesudahan kepada cerita ini.
Itulah yang membuatkan filem ini seronok ditonton, selain pada dengan aksi, jalan cerita juga tidak membosankan dan bukan sebuah filem tipikal Melayu.
Teguran Buat Pemimpin Dan 'Hero'
Sudah tentu dalam filem ada pengajaran atau mesej yang cuba disampaikan, dan bagi saya untuk filem ini mesej yang paling jelas adalah 'negara kita ada undang-undang'.
Beberapa kali jugalah ayat 'negara kita ada undang-undang' diulang dalam dialog, sehingga Sheriff pun ada sebut "Ini Malaysia, Perdana Menteri pun boleh masuk penjara" untuk menunjukkan segala tindakan kita akhirnya perlu melalui proses undang-undang yang betul dan akan diputuskan oleh mahkamah.
Teguran buat pemimpin, mesejnya agak mudah iaitu jangan terlibat dengan rasuah dan jangan salah guna kuasa.
Tetapi teguran buat orang yang mahu jadi 'Hero' pula mungkin kurang dilihat, dan teguran ini saya letakkan pada watak Naz.
Dia dilihat sebagai hero kerana berani mengambil tindakan untuk menghentikan jenayah dadah dalam negara.
Sebenarnya perkara ini akhirnya memakan dirinya sendiri apabila dia dapat tahu bahawa Tuan Malik sebenarnya sedang bertugas sebagai undercover dan maklumat yang dia dapat itu adalah salah.
Disebabkan mahu menjadi 'hero', Naz akhirnya membunuh seorang pegawai polis yang tidak bersalah.
Sebenarnya insiden lagak 'hero' ni banyak terjadi dalam negara kita seperti insiden memukul orang yang mengakibatkan kemalangan atau memukul si pencuri sehingga akhirnya mengakibatkan kematian.
Kita mungkin mahu menjadi 'hero' dengan membuat tindakan sendiri kerana merasakan kalau ikut proses undang-undang, orang itu mungkin terlepas dan tidak mendapat balasan yang setimpal.
Akhir sekali, terdapat juga teguran buat pengamal undang-undang dalam negara yang terlibat dengan rasuah sehingga membiarkan penjenayah yang sepatutnya meringkuk dalam penjara tetapi terlepas.
Bagi saya, undang-undang itu kalau diikut dengan betul dan jujur, dan tidak ada yang mengambil kesempatan terhadap loophole yang ada, orang yang bersalah pasti akan terbukti bersalah.
Tapi itu bukanlah realiti sebenar di mana-mana negara sekali pun.
Tonton Kali Kedua Baru Puas!
Selepas 7 hari tayangan, filem Sheriff: Narko Integriti berjaya membawa pulang kutipan RM22.1 juta. Ini menunjukkan orang kita bukan tak nak sokong filem tempatan, tapi kalau filemnya bagus confirm ramai yang tonton.
Untuk pengkritik filem atau peminat filem, mungkin akan ada yang ambil peluang untuk tonton buat kali ke-dua.
Sebenarnya berbaloi je kalau nak tengok filem ni untuk kali kedua sebab mesti akan ada detail-detail yang kita terlepas masa tontonan kali pertama.
Macam filem Imaginur, ramai jugakan yang repeat cerita tu berkali-kali sebab nak fahamkan jalan cerita sampai ramai yang buat teori pasal filem tu. Dengar cerita sampai sekarang Redza Minhat tak reveal teori filem Imaginur.
Part ending filem Sheriff ni pun macam membuka satu ruang untuk adakan filem sequel, jadi saya memang berharap sangat akan ada Sheriff Part 2.
Apa-apa pun, filem Sheriff: Narko Integriti merupakan sebuah filem yang padat dengan aksi, jalan cerita yang tidak membosankan, lakonan mantap, dan mesej yang jelas. Saya bagi 9/10.
Kalau belum tengok lagi filem ni, boleh book tiket masing-masing dan serbu pawagam terdekat. Saya jamin tak rugi tengok!