Peta Kehidupan



Assalammualaikum,

Seringkali kita lupa sebenarnya kita sekarang sedang berada dalam kehidupan kita yang ketiga, iaitu kehidupan di dunia. Sebelumnya kita telah hidup di alam roh dan juga alam rahim. Di atas hikmah dan kebijaksanaan Allah, kita tidak mengingat satu hal pun dari kehidupan yang lepas. Tetapi tetap yakin bahawa kehidupan terdahulu itu ada sebelum kita di lahirkan di dunia ini. Ketika kita masih di alam Roh, kita sudah terlebih dahulu ditanyakan oleh Allah (SWT) dan kita bersaksi bahawa "tiada Tuhan selain Allah". Dunia ini merupakan alam ketiga sebelum kita melangkah ke alam seterusnya, iaitu alam Barzakh dan akhir sekali ke alam Mahsyar.

Tentu sekali di alam dunia ini kita masih merasa selesa tanpa menghiraukan persediaan kita untuk alam seterusnya. Kita masih seronok dengan kehidupan semasa. Seronok melakukan perbuatan yang sia-sia. Jarang sekali kita fikir apakah implikasi setiap perbuatan kita terhadap nasib kita di alam seterusnya. Tempoh masa kita kelihatan lama di dunia ini, tapi hakikatnya singkat. Seperti baru semalam kita melangkah ke tahun baru. Tapi sekarang sudah 3 bulan melepasi tahun 2019. Masa kita sangat singkat sebenarnya. Terlalu singkat untuk fikir keseronokan di dunia semata-mata.

Pada ketika ini sahaja, terdapat lebih 7 bilion populasi di bumi. Ada yang diduga, ada yang merana, ada yang bahagia. Nasib yang berlainan setiap dari kita. Kebiasaan yang diduga hatinya akan lebih dekat dengan alam seterusnya, mengharapkan pengakhiran yang baik. Tetapi ada juga apabila setelah diuji dan diberikan bahagia, dia lupa terus akan segala kebaikan Tuhan. Walau apa pun, yang paling baik adalah mereka yang sentiasa mengingati tujuan hidup semasa diuji dan juga diberi bahagia. Tujuan Allah (SWT) menciptakan manusia yang paling utama adalah untuk beribadah kepada Allah. Selain itu, kita diwujudkan di dunia ini adalah untuk menjadi Khalifah. Menjadi khalifah bermaksud menjadi contoh sebagai makhluk yang terbaik. Jadi, dengan kepercayaan yang diturunkan oleh Allah, kita hidup untuk mencapai matlamat alam seterusnya.

Alam Barzakh itu nyata. Alam Mahsyar itu nyata. Syurga dan Neraka juga nyata. Sampai masa, kita tetap akan ke alam-alam itu. 

Persoalannya, sejauh mana persediaan kita untuk ke alam seterusnya? adakah kita sudah betul-betul bersedia? sudahkah kita betul-betul memahami dan menerima dunia ini hanya tempat sementara? Dan sekiranya esok roh kita di hantar ke alam seterusnya, bagaimana keadaan kita di sana? Semua ketidakpastian ini pasti menghadirkan rasa takut untuk menghadapi kematian. Tetapi sebagai seorang muslim, amalan di dunia ini adalah penentu pengakhiran kita, samada baik atau sebaliknya. Berdoa lah dengan sepenuh hati agar Allah (SWT) menerima segala amalan kita di muka bumi ini dan meletakkan kita dalam golongan hambanya yang paling dikasihi.

Dalam peta kehidupan ini, perjalanan kita masih jauh dan masih penuh dengan tanda tanya. Semoga kita diberi kekuatan dan istiqomah dalam melakukan setiap kebaikan. Amin.

Until Next Post, Maasalama.

2 Ulasan

Catat Ulasan
Terbaru Lebih lama