Assalamualikum,
Bersempena di hari jumaat
yang mulia ini, saya akan mengupas sedikit hal berkenaan dugaan dan keredhaan. Semestinya, setiap manusia yang bernafas di muka bumi ini
akan tetap menghadapi dugaan dalam pelbagai bentuk. Tidak kira kecil atau besar
dugaannya, ia tetap dianggap sebagai sebahagian ujian dalam hidup. Mungkin
sebahagian kita diduga dengan dugaan yang amat berat seperti kehilangan kedua
ibubapa, atau dugaan ketidakstabilan kewangan isi rumah. Jenis dugaan ini
adalah nyata yang boleh dilihat dengan mata dan dirasai dengan hati.
Seandainya diuji dengan
ujian yang nyata ini, tetap lah bersyukur kerana kita mengetahui ianya adalah
dugaan dari Allah (Tuhan) kepada hamba-Nya yang dikasihi. Namun begitu,
terdapat jenis ujian yang tidak dapat dilihat dengan mata dan dirasai dengan
hati. Kesenangan, kemewahan dan kebahagiaan, ia merupakan ujian tanpa kita
sedar. Ujian untuk melihat samada orang-orang yang mendapat kesenangan ini
bersyukur atau sebaliknya. Samada kemewahan yang diberikan digunakan ke jalan
Allah (Tuhan) atau sebaliknya.
Setiap kesenangan yang
kita miliki juga boleh dilihat sebagai satu ujian, samada dimanfaatkan ke arah
kebaikan atau ke jalan kejahatan. Walau bagaimanapun, dugaan-dugaan ini tentu
sekali diberikan mengikut kemampuan setiap insan. Maka, tetap lah mencari jalan
Allah (Tuhan) tidak kira apa bentuk ujian yang kita hadapi, yang nyata mahupun
tidak, kerana setiap ujian itu adalah hadiah daripada-Nya.
Seperti orang-orang yang diduga itu, sebahagiannya diberikan
kekuatan untuk redha dan menerima ketentuan ilahi. Ada pula sebahagiannya terus
hilang arah dan pedoman, lantas memilih jalan yang salah demi menyelesaikan
masalah. Bagi mereka yang kelihatan tenang walaupun ditimpa ujian, pasti akan
memberitahu kuncinya adalah mendekatkan diri kepada Allah (Tuhan) dan berdoa
agar diberi kekuatan untuk mengharungi ujian-ujian itu. Tetapi bagaimana pula
kepada mereka yang berbuat sebaliknya? Mereka yang memilih jalan yang
salah dalam menghadapi dugaan? Lalu, kita sebagai pemerhati terus menjatuhkan
hukum kepada yang gagal mengharungi dugaan sebagai orang yang tidak punya iman
tanpa terlebih dahulu memahami keadaan sebenar mereka.
Boleh jadi bukan salah
mereka memilih jalan yang salah. Boleh jadi, ketika dugaan itu ditimpakan ke
atas mereka, Allah (Tuhan) mengirimkan kita untuk membantu mereka tetapi kita
hanya membutakan mata. Lalu, mereka nekad untuk memilih jalan yang salah kerana
bagi mereka ketika itu, cuma ada satu pilihan. Pada saat itu, sesungguhnya kita
telah gagal melunaskan tanggungjawab sesama insan. Apalah ruginya jika kita dapat membuang pemikiran judgmental dan selidik hal yang sebenar terlebih dahulu. Mungkin jalan salah yang kita nampak mereka pilih itu bersebab. Fahami lah dengan hati sebelum menghukum.
Bukan tempat saya untuk meminta
orang-orang yang dikurniakan dugaan untuk bersabar dan sentiasa terima ketentuan
ilahi. Tentu sekali saya tidak layak memberi nasihat supaya mereka yang diduga itu
redha dengan ujian dunia. Tetapi, tidak ada kerugian sekiranya kita sentiasa
berlapang dada dengan segala kepayahan di dunia ini. Sentiasa menerima. Seterusnya
bangkit dan berusaha mengharungi kepayahan itu. Teguhkan hati dan yakin lah, whenever there is hardship, there is relief. Kerana Allah (Tuhan) itu maha Adil pada tiap sesuatu. Akhir sekali,
bertenang lah terhadap dunia sesungguhnya ianya cuma sementara.
Until next post, Maasalama.