Gali Bunyi #2: Butterfingers



Assalammualaikum,

Band pertama yang dipilih untuk segmen Gali Bunyi ni adalah Butterfingers. Sebab dan tujuan pilih? Sebab show reunion Butterfingers akan diadakan pada 2 November 2019 di Stadium Melawati, Shah Alam. Dah beli tiket belum? Kalau belum boleh beli di airasiaredtix.com atau klik SINI. (Tiket banyak soldout dah. yang tinggal cuma zone Epitome berharga RM265)

Okay kita gali dulu sejarah penubuhan Butterfingers yang terdiri daripada Emmett (Vokal & Guitar), Loque (Guitar), Loco (Drum), Kadak (Bass) dan ada satu ketika bersama Kalai (Drum). Kalau nak tahu the original members of Butterfingers are Loque, Kadak & Kalai yang sama-sama belajar di MCKK. Selepas itu disertai oleh Emmett dan kemudian Loco. So jom kita rungkai dan gali secara terperinci lagi. 


Kemunculan Pertama

Kemunculan pertama Butterfingers adalah semasa di Cobra Club House, Petaling Jaya pada pertengahan tahun 1994 yang ketika itu memperkenalkan peminat muzik bawah tanah dengan lagu Girl Friday dan Nic O' Tynne. Genre yang dibawa oleh Butterfingers sewaktu kemunculan pertama adalah 'grunge' dan sekaligus mencipta impak yang agak besar dalam local music scene. Boleh dianggap sebagai band Lagend kepada mereka yang mengikuti music underground. Butterfingers kalau ditanya apa yang ada pada band ni, rata-rata akan cakap ‘attitude’ dan muziknya yang beridentiti termasuk soundnya bercirikan bunyi riff gitar yang tegar di alunkan bersama vocal Emmet yang memang mirip dengan mendiang Kurt Cobain (1967-1994) lagenda Grunge band Nirvana yang sangat terkenal di Amerika pada era akhir 80an dan awal 90anMereka juga menjadi mencetus kepada kemunculan pelbagai band-band underground.

Seperti band-band lain, Butterfingers juga bermula dengan release full demo pertama (12 goats, 6 oranges and 2 angles) mereka di pentas muzik bawah tanah yang secara tak langsung memperkenalkan Butterfingers dalam arena muzik tempatan. Kalau nak tahu demo tu diambil secara live tanpa melalui proses ‘track by track’ dan dirakamkan di FM Studio pada 10 Januari 1995. Mulanya pengikut muzik underground tempatan menyangka demo tersebut adalah “unreleased Nirvana album’, sehinggalah Butterfingers membuat persembahan di Moderate Rock Gig yang bertempat di Piccadilly Club pada 1 May 1995. 

Waktu kemunculan Butterfingers ni dulu, genre 'grunge' masih dianggap asing. Sebab grunge popular dari band Nirvana. Jadi bila band tempatan bawa genre yang sama, seperti satu nafas baru telah diberikan kepada dunia muzik tanah air. Itu lah yang membuatkan Butterfingers ni dikenali dan diingati sehingga ke hari ini.

Tapi kalau nak ikutkan kata Loque, Butterfingers ni bukan datang dari underground. Diaorang jadi underground sebab kemunculan Butterfingers seiring dengan band-band underground yang lain. Tapi bagi saya kemunculan Butterfingers boleh dikatakan dari 'bawah tanah' juga. Dan muzik diaorang dikenali sebagai butter sound. 


Sebelum Butterfingers

Jadi saya akan gali ke dalam sikit ke zaman sekolah ahli Butterfingers. Sebelum tertubuhnya band Butterfingers. 

Loque, Kadak, dan tiga rakan mereka iaitu Cop, Ayul dan Bobo berusia 14 tahun dan bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada 1991. 


Biasa lah fitrah seperti remaja lain, muzik memang banyak memberi pengaruh utama sebagai medium untuk merehatkan fikiran atau lebih tepat untuk melepaskan geram. Memang nyata kelima-lima remaja ni mempunyai minat mendalam bukan sekadar mendengar muzik tetapi mereka mahu menghasilkan muzik mereka sendiri.

Sebelum nama Butterfingers, Loque's Tail merupakan nama yang digunakan awal kumpulan mereka dan tiap kali tibanya Sabtu dan Ahad, mereka akan keluar dari asrama dan menuju ke pekan Kuala Kangsar untuk untuk bermain muzik atau "jamming". 

Zai Am Studio di Kuala Kangsar menjadi saksi kepada aksi Loque's Tail dengan lagu heavy metal mereka. Ketika itu lagu daripada Metallica seperti Ride The Lighting, Master Of Puppets dan Fade To Black menjadi pilihan.

Tahun 1992 pula menyaksikan minat mereka semakin mendalam dan mengakui album kedua kumpulan grunge popular dunia, Nirvana yang berjudul Nevermind melahirkan inspirasi yang begitu kuat untuk mereka bermain muzik. Setahun selepas itu Loque' Tail sah bergelar sebuah kumpulan Punk. Kalai menyertai kumpulan itu setelah Cop dan Bobo berundur. Mereka hanya tinggal berempat dan tidak lama kemudian Ayul pula mengundur diri. Kalai Butterfingers juga merupakan pelajar MCKK. Sebab tu boleh kenal sekali.

Mereka hanya tinggal bertiga dan Loque menjadi vokalis serta gitar utama, Kadak selaku pemain bass dan Kalai bermain dram. Walaupun bertiga, mereka gah dengan muzik grunge mereka dan aksi mereka bertambah hebat di studio jamming dengan lagu Sex Pistol dan Nirvana.



Info Tambahan: Loque dan Kalai pernah turut serta bermain Military Band. Loque dan Kalai bermain drum sisi dan Kadaq adalah drum utama. 


Pada pertengahan 1993, Loque pulang ke Kuala Lumpur untuk bercuti lalu menjengah sebuah studio jamming di Petaling Jaya dan Loque telah terpikat melihat aksi Emmett sedang asyik bermain gitar dan menyanyi di studio Black Widow. 

Emmett ketika itu adalah pemain gitar utama kumpulan Grunge Dayz, secara tak langsung telah memikat Loque ketika sedang beraksi dengan lagu popular kumpulan Red Hot Chilli Peppers iaitu Under The Bridge. Loque tertarik dengan kelebihan bakat yang dimiliki Emmet dan mencabar Emmet dan kumpulannya, Grunge Dayz untuk bertarung dalam 'Jamming Showdown' dan bermain muzik bersama.

Mereka seolah-olah telah ditakdirkan kerana tidak beberapa lama kemudian Emmett meninggalkan Grunge Dayz dan bersetuju untuk beraksi bersama Loque dan sekaligus bercadang untuk menghasilkan kaset demo. Loque ketika itu sudah mempunyai dua buah lagu iaitu Girl Friday dan Nicotine. Loque dan Emmett kemudian buat pertama kali jamming di studio Black Widow dengan dua buah lagu tersebut.


Sebelum menduduki peperiksaan SPM pada 1994. Loque membawa Kalai menemui Emmett dan sekali lagi mereka jammming di studio berkenaan. Dalam pada itu, mereka tidak pernah melupakan soal pelajaran. Mereka ketika itu memang sudah dikenali sebagai Butterfingers, nama yang diberikan oleh Loque. Mereka jelas mudah menjinakkan muzik dalam diri kerana tidak lama selepas itu, Butterfingers mula dikenali di ibu kota dan sering dijemput dalam beberapa persembahan kecil dan gig.


Jadi itu lah kisah sedikit sebanyak kisah yang dapat digali tentang permulaan kumpulan Butterfingers ni. Yang pasti, minat muzik yang mendalam sejak di bangku sekolah telah mendorong masing-masing untuk meneruskan perjuangan dalam dunia muzik.


Album-album Butterfingers

Tahun 1995 kita menyaksikan Butterfingers melangkah setapak jauh dalam dunia muzik dengan menghasilkan beberapa album hinggalah dikenali sampai ke negara jiran, Singapura dan Indonesia. Butterfingers juga pernah mendapat pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1998. Kira boleh tahan hebat lah tengah tahun ekonomi gawat boleh dicalonkan. Ni antara album Butterfingers yang pernah di release termasuk album kompilasi:


  • 1.2 Milligrams, 1996
  • Butter Worth Pushful, 1997
  • Transcendence 1999
  • Malayneum, 2000
  • Butter Late Than Never,2000 (compilation album)
  • The Best Is Yet To Come 1994-2000 (compilation)
  • Selamat Tinggal Dunia (2005)
  • KEMBALI 2008

Sikit Trivia: lagu Sekilas Cinta dari Ella kelihatannya memakai sampel dari lagu Epitome.

Persaingan di Tanah Sendiri

Kalau kita perhatikan muzik underground dulu rata-rata akan menggunakan lirik bahasa Inggeris. Bahasa penjajah lah bak kata orang. Tapi lepas permintaan peminat muzik tempatan dan satu ketika kita dibanjiri muzik dari seberang, maka secara tak langsung lagu dalam bahasa melayu mula mendapat tempat di hati pendegar muzik tempatan. Band-band seberang seperti Dewa, Peterpan, Padi dan Sheila On7 sudah pun mendominasi corong-corong radio sehingga sempit ruang muzik anak tempatan untuk lagu lagu mereka di mainkan DJ radio. Bernaung bawah label besar seperti EMI pun tetap promosi album The Best is Yet to Come lemah di bawah label. Memang kita boleh nampak musician tempatan agak struggle waktu tu sampai dipaksa radio buat kuota putaran local music.

14 Disember 2004, Butterfingers sekali lagi meriliskan album dan pertama kalinya dalam bahasa melayu iaitu album ‘Selamat Tinggal Dunia’. Waktu itu sudah ada band band underground yang sebelum ini membawakan lagu Inggeris tetapi beralih lirik ke dalam bahasa melayu sebagai contohnya OAG.


Dan seperti ada ledakan industri muzik tempatan ketika itu, secara tak langsung independent band semua perlu bersaing dengan pengaruh muzik-muzik lain seperti hip hop yang di popularkan di Malaysia oleh group hip hop seperti Too Phat dan Teh Tarik Crew. Impak muzik hip hop ketika tahun 2004 tu pun bukan calang-calang.

Selepas album Selamat Tinggal Dunia, pengikut Butterfingers masa tu dah mula bersikap prejudis bila Butterfingers mengeluarkan album berbahasa melayu. Ada yang menyangka Butterfingers dan mula selling out lepas dan bernaung di bawah label besar.

Tapi sebaliknya Butterfingers membuktikkan yang mereka bukan lah band selling out seperti yang disangka sesetengah pihak. Tidak seperti band-band lain yang mula mengikut acuan label bila dah sign kontrak. Mereka melenyapkan tanggapan tersebut dengan menghasilkan album pertama 1.2 Milligrams (1996), yang mampat dengan bunyian grunge, penuh dengan tenaga punk liar. Rekod itu telah beri Butterfingers lebih kredibiliti, membuktikan yang mereka mampu menjual bunyi sebenar mereka kepada syarikat rakaman. Bukanlah ia menjadi hal penting kepada label apabila album mereka terjual sebanyak 15,000 unit.

Album ‘Selamat Tinggal Dunia’ pasti bukan album yang bertemakan kan cinta leleh,tetapi sebuah album melayu yang penuh kelainan dari kebiasaan Album tersebut sarat dengan mesej kemanusian,persabahatan dan yang paling penting muzik nya masih segar dengan irama grunge ber identitikan Butterfingers. Mereka lebih bereksperimen dengan musik malah lagu lagu mereka berkembang selari dengan kematangan mereka yang semakin meningkat dewasa.

Masih mengekalkan sound sound yang bertenaga kerana prinsip mereka tidak sesekali terpengaruh dengan pujukan serta kehendak label untuk mengubah arah musik mereka, Butterfingers sendiri yang menentukan lagu mereka dalam rakaman album.

Perubahan Zaman

Kalau korang ingat lagi masa era Myspace, ramai band-band menggunakan platform online yang terbina ni untuk mengangkat nama diaorang. Butterfingers juga melancarkan Myspace Music pada tahun 2004 dan mempunyai puluhan ribu yang mengikuti page mereka. Dan masa tu jugaklah baru tau yang ada sebuah lagi kumpulan bernama Butterfingers dari Australia yang main muzik hiphop.

Era Myspace Music menyaksikan ramai band mula muncul melalui platform ini. Band seperti Hujan, Meet Uncle Hussain, Couple, Grey Sky Morning dan banyak band lagi menggerakkan muzik indie yang akan berkembang pesat beberapa tahun selepas itu. Tetapi kemunculan Butterfingers di sini serta gerakan muzik band emo, metalcore serta banyak lagi muzik di Myspace Music, menjadikan gerakan muzik masa mid 2000s tu rancak!

Sikit Trivia: Lagu Tentang Tentang pernah jadi anthem demo bersih 2007.

Sehingga lah kini platform online lebih menguasai industri muzik. Mungkin dah semakin berkurangan atau pun hampir tiada anak-anak muda yang beli album-album band. Dengar di YouTube lebih mudah barangkali. 

Loque ada cakap yang 'Rock is Dead'. Antara kesan perubahan zaman. Muzik rock tu ada je band yang masih mainkan lagi, cuma resonance rock tu tak sekuat dulu. Tuhan selamatkan Rock & Roll, tu ungkapan dia. Attitude music underground ni lain. Macam Loque cakap masing-masing dengan genre sendiri, tapi attitude tu tetap sama. itu yang membuatkan anak-anak remaja yang cenderung dengan muzik bawah tanah ni mempunyai corak pemikiran yang berbeza, dan ber-attitude.

Butterfingers Berpecah?

Tahun 2003, Emmett Butterfingers telah berlepas ke Kanada untuk menyambung pelajarannya dan meninggalkan rakan rakan band yang masih sedang dalam promosi album Selamat Tinggal Dunia.

Ada khabar angin yang cakap Butterfingers telah berpecah dengan perginya Emmett ke Kanada. Ditambah pula dengan tajuk album Selamat Tinggal Dunia yang seolah-olah mengambarkan perpecahan antara mereka.

Tahun 2006 Emmet kembali ke Malaysia dan seminggu selepas itu, giliran Loque pula menyambungkan pelajaran ke Berkley College Boston dimana beliau menyambung pelajaran dalam bidang penulisan lagu tetapi masih meneruskan penulisan lagu untuk Butterfingers. Nampak seperti bersilih ganti masing-masing ke luar negara.

Walaubagaimanapun, lewat tahun 2007, mereka kembali bersama dan merekodkan album baru. 6 Julai 2008 memperlihatkan album baru bertajuk KEMBALI, telah di keluarkan. Kebetulan juga pada waktu album tersebut di pasarkan, Loque telah pulang ke Malaysia untuk menghabiskan cuti sem.

Mereka telah menggunakan kesempatan minggu-minggu terakhir yang ada bersama sementara mereka masih di Malaysia untuk mempromosikan album yang terbaru pada tahun 2007. Album tersebut menjadi album terakhir untuk Butterfingers sebab lepas tu Loque, Kadak bersama-sama menubuhkan band yang di beri nama Monoloque serta merakamkan album dan lagu. Manakala Emmett pula telah kembali ke Kanada kerana mendapat tawaran kerja di sana.

Ditambah pula pada tahun 2014, giliran Loco, pemain drum Scan/Butterfingers/Monoloque pula mengumumkan persaraannya. Kepada sesiapa yg kurang ariff tentang Loco, beliau merupakan satu satunya pemain drum yang telah bersama Loque sejak 1998, selepas Kalai meninggalkan Butterfingers dan melanjutkan pelajarannya ke luar negara.

Walau apa pun yang jadi, bak kata Loque, Butterfingers masih ada dan belum berpecah, cuma masing-masing buat kerja masing-masing. Haluan tetap sama cuma kerja/projek yang berbeza untuk Butterfingers malaysian band members.




Butter Late Than Never

Pasti ramai peminat Butterfingers masih terngiang-ngiang Peristiwa Batu Keras di Hard Rock Cafe. Butterfingers banyak membentuk pemikiran remaja yang membesar dengan muzik mereka. Pengaruh mereka besar dalam industri muzik terutamanya yang underground sampai terlahirnya banyak band-band yang terinspirasi dari mereka. 

Seperti album Butter Late Than Never yang rare, begitu lah keadaan generasi semasa yang rare kalau ada yang bercerita tentang cerita band sekarang. Generasi sekarang lebih suka bercerita berkenaan gadget atau cerita macam mana nak membesarkan otot atau idola Kpop masing-masing. Dan rare juga lah pada hari ni jika nak dengar perkataan ‘Moshing, headbanging, slam, stage diving,skankin menjadi isi perbualan anak-anak remaja pada hari ini.

Kalau nak cari story pasal isteri emmett butterfingers, sini bukan tempatnya bro!

2 Ulasan

  1. bole tau tak gear (gitar, pedal,amp) dorang pakai utk setiap album, dari 1.2 sampai kembali?

    BalasPadam
    Balasan
    1. yang tu kene refer direct pada band members atau sound technician. Saya pun kalau boleh nak tahu jugak.

      Padam
Catat Ulasan
Terbaru Lebih lama